Langit Tuhan
Dada terasa sebu semacam lalu kepala diangkat dan didongak perlahan untuk melihat langit senja dengan harapan berjumpa tenang yang mungkin ada pada permukaan lautan luas langit Tuhan.
Air mata jatuh menitik- nitik, laju, entah sebab apa, mungkin campuran pelbagai rasa yang sudah sampai tahapnya. Dibiar, tidak diseka.
Langit Tuhan menjadi saksi akan banyak kejadian dan juga menjadi tadahan mendengar rintihan banyak orang. Bila rintihan yang diterima banyak hingga menjadi lambakan, langit berbisik pada awan; mari kita minta pada Tuhan agar turunkan hujan. Bagi meraikan mereka yang sedang kesedihan juga sebagai tanda mereka sedang dihiburkan dan ditenangkan.
Kepingan- kepingan awan yang menghiasi langit Tuhan mengajarkan kita satu hal besar; untuk kekal berjalan, bergerak ke hadapan walaupun perlahan.
Langit Tuhan adalah satu seni dan kurniaan yang tak terkalahkan kerana manusia takkan pernah mampu bosan walaupun dengan hanya memandang.
Langit Tuhan juga boleh menjadi perumpamaan yang baik untuk keampunan Tuhan yang Maha Luas seperti yang disebut dalam ayat 33 surah al- Anfal.
Pelangi, awan, bulan, hujan dan langit Tuhan itu semua kurniaan yang menenangkan, bukan?
Bila langkah terasa payah, cubalah lihat langit Tuhan dan bertenang. Tarik nafas dan cuba ingat kembali, janji- janji Tuhan yang tak lama lagi akan tertunai. Yakin.
Semoga kita kekal dalam pelukan rahmat Tuhan.
Amin.
No comments:
Post a Comment